
Tangani Krisis Dengan Harmoni
KENYATAAN MEDIA GEMA NASIONAL
Rentetan peristiwa pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat, Bukit Bintang kelmarin, sudah berlegar di media sosial beberapa versi 'kisah sebenar' dan juga tindak balas beberapa NGO dalam rangka memberi sokongan serta saranan pemboikotan.
GEMA melihat isu ini memerlukan penilaian yang benar tanpa rasa prejudis bangsa serta menghala kepada penyelesaian dan keharmonian.
Sikap membuat konklusi dengan khabar angin bukanlah budaya yang sihat dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Teknologi maklumat sepatutnya menjadikan kita masyarakat yang lebih mampu untuk menilai maklumat yang diterima disamping membuka ruang permuafakatan yang lebih luas.
Melihat perkembangan yang berlaku, GEMA menyarankan:
-
Semua masyarakat menahan diri dari mengambil tindakan drastik yang berdasarkan rasa tidak puas hati terhadap warga seMalaysia yang berlainan bangsa. Tanggungjawab menjaga keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama.
-
Menggalakkan budaya penilaian maklumat yang benar dan tidak mudah terikut dengan sentimen perkauman dan prejudis agama.
-
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang proaktif dalam membendung segala bentuk elemen pemecahan dalam masyarakat majmuk Malaysia. Sebaran sentimen perkauman perlu diambil tindakan yang tegas.
-
Masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menangani isu ini dengan baik tanpa mengeruhkan keadaan. Tuduhan kepada mana-mana pihak terlibat dalam insiden ini adalah tidak dialu-alukan dan GEMA melihat ia sebagai tindakan tidak matang dalam menangani krisis.
-
Menyarankan agar rakyat Malaysia mengamalkan budaya integriti yang tinggi dalam semua urusan, baik dalam jual beli dan juga urusan kepimpinan.
Selari dengan nilai bersama GEMA; empower, respect & awesome, GEMA melihat budaya menghormati (respect) adalah nilai toleransi yang perlu masyarakat dan para belia amalkan dalam masyarakat majmuk Malaysia.
"Bersama Menjana Perubahan"
Mohd Qayyim Hafidzi
Presiden
Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA)
13 Julai 2015